KPKT sasar 100 pusat kitar semula pandu lalu seluruh Malaysia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 100 Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) di seluruh Malaysia.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata pusat yang dilaksanakan menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) setakat ini telah berjaya mewujudkan 32 DTRC di tujuh negeri yang menerima pakai Akta 672 Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Menurutnya, tujuh negeri tersebut adalah Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Orang ramai boleh naik kereta bawa surat khabar, minyak masak botol plastik sampai ke drive thru dengan berkonsepkan seperti McDonald’s, KFC, turun saja terus bayar.

“Duit yang dibayar cukup untuk sarapan pagi cukup untuk beli sayur, daging dekat pasar. Jadi, kita akan wujud banyak drive thru di lokasi strategik supaya kadar kitar semula negara kita akan setaraf negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Hari Landskap Negara 2023 di Taman D R Seenivasagam yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

DTRC adalah inisiatif berkonsepkan mesra pengguna yang memudahkan masyarakat menghantar sisa kitar semula yang telah diasingkan, di samping dapat menggalakkan orang ramai membudayakan amalan kitar semula bagi menyumbang kepada peningkatan kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40 peratus menjelang 2025.

#PerakKini #KPKT #NgaKorMing #SWCorp #HLN2023 #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *