JBPM Perak tubuh PBS Orang Asli pertama di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng

rhdr

Oleh Rosdalilah Zahari

GOPENG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menubuhkan pasukan bomba sukarela (PBS) dianggotai masyarakat Orang Asli yang pertama di negeri ini.

PBS tersebut melibatkan 30 penduduk Orang Asli yang tinggal di sekitar perkampungan Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng di sini.

Pengarah JBPM Perak Azmi Osman berkata PBS membabitkan Orang Asli ini diwujudkan supaya mereka dapat memberi bantuan awal jika berlaku kecemasan memandangkan rata-rata lokasi penempatan mereka terletak di kawasan pedalaman.

“Masyarakat Orang Asli dilihat mempunyai kemahiran berada di hutan untuk berhadapan dengan binatang buas dan sebagainya yang baik serta mereka tahu struktur jalan dalam kawasan hutan.

“Di samping itu, mereka (Orang Asli) memiliki ketahanan fizikal yang amat padu untuk membantu.

“Sebab itu tugas mereka bukan hanya memadam kebakaran di kawasan setempat sebaliknya akan kita rangkumkan dengan tugas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Sempena Penubuhan PBS Kampung Orang Asli Ulu Geruntum Gopeng, di Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Geruntum, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad.

Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata JBPM berhasrat untuk meluaskan PBS membabitkan masyarakat Orang Asli terutamanya di kawasan pedalaman.

“Sasaran (tubuh PBS Orang Asli) kita akan tengok mengikut keperluan setempat mengikut kajian yang dijalankan tetapi kita sasarkan antara lima ke tujuh (PBS) dulu,” ujarnya.

Terdahulu, PBS Orang Asli menerima kelengkapan pakaian dan peralatan seperti alat pemadam api serta gegelung hos daripada JBPM untuk kegunaan mereka jika berlaku kebakaran.

Selain itu, Sandrea pula turut menyumbangkan sumbangan kotak makanan kepada penduduk setempat.

#PerakKini #JBPM #PBS #Orang Asli #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *