Saya tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri – Nurul Izzah

Foto Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

“SAYA tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.

Beliau memaklumkan perkara itu melalui satu kenyataan media di Facebook miliknya hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Hassan Marican, telah mengundangnya untuk menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

“Saya dengan rendah diri menerima tanggungjawab ini dan

amat menghargai setiap peluang untuk menyumbang kepada negara demi melakar masa depan yang lebih baik untuk Malaysia.

“Justeru, saya mengambil kesempatan ini bagi menzahirkan sepenuh penghargaan atas setiap sokongan dan dokongan yang diberikan, baik daripada orang ramai mahupun seluruh pasukan perkhidmatan awam dan komuniti kerajaan,” jelasnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa anak sulungnya itu dilantik sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada beliau berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang elaun dibayar kepada Nurul Izzah yang memikul tugas tersebut.

#PerakKini #penasihatkewangandanekonomi #PerdanaMenteri #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *