Kerajaan Perak edar kit kesihatan pergigian kepada murid Tahun Satu B40, M40 Ogos ini

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan Negeri Perak melalui Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) memperuntukkan RM500,000 untuk penyediaan bekalan Kit Kesihatan Pergigian Murid bagi murid B40 dan M40 serta murid di luar bandar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 20,000 orang murid Tahun Satu membabitkan 120 buah sekolah bagi menggalakkan penjagaan kesihatan pergigian kepada murid di peringkat awal.

Menurutnya, kit kesihatan pergigian itu turut diedarkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak sebanyak 2,000 unit manakala 1,500 unit akan diedarkan kepada 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk diedarkan kepada murid-murid dipilih oleh pihak sekolah terlibat pada Ogos ini.

Katanya, kit tersebut mempunyai empat barangan utama iaitu ubat gigi, berus gigi, cawan dan tuala.

“Pemberian kit kesihatan pergigian ini adalah salah satu inisiatif strategik TCS iaitu membantu dalam kesejahteraan, kesihatan murid adalah salah satu Flagship Perak Sejahtera iaitu Agenda Perak Sihat Sejahtera.

“Inisiatif ini juga bagi mendokong dasar dasar kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) di mana perkhidmatan kesihatan pergigian sekolah adalah satu perkhidmatan penting yang disediakan kepada murid sekolah di bawah seksyen 64 dan 65 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai Mesyuarat Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Katanya, objektif pelaksanaan pemberian kit kesihatan pergigian ini adalah untuk memperkasakan murid sekolah supaya bertanggungjawab terhadap kesihatan mulut mereka.

“Dalam pada itu, ia dapat memperluaskan aktiviti pencegahan klinikal kepada murid di samping memberi pendedahan kepada murid berkaitan kepentingan penjagaan gigi di peringkat awal

“Pemberian kit ini juga secara tidak langsung membantu murid-murid dalam kalangan B40 dan M40 untuk mendapatkan penjagaan gigi yang berkualiti,” jelasnya.

Saarani berkata kerajaan amat mengambil berat perihal kesihatan murid sekolah di negeri ini termasuklah kesihatan penjagaan gigi yang mana jika tidak diberikan kesedaran lebih awal berkaitan penjagaan ini, risiko untuk murid mengalami masalah kesihatan seperti karies dan penyakit gusi akan lebih meningkat.

#PerakKini #KerajaanNegeriPerak #JPN #PPD #gigi #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *