Kerajaan tepis segala fitnah pembangkang berhubung isu subsidi – PM

Ismail Sabri berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato' Sagor, Pasir Salak, pada Ahad.

Oleh Rosdalilah Zahari

PASIR SALAK – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menepis segala penipuan dan fitnah pembangkang berhubung subsidi ditamatkan pada 1 Julai lalu.

Menurutnya, semua subsidi masih dikekalkan hanya program subsidi sementara ketika pandemik Covid-19 merangkumi minyak masak berbotol bagi 1 kilogram (kg), 2kg, 3kg dan 5kg, membabitkan peruntukkan berjumlah RM55 juta sebulan dimansuhkan.

“Kita (kerajaan) berbelanja RM4 bilion untuk pastikan subsidi dan minyak masak masih kekal harga RM2.50. Kalau minyak masak tidak disubsidi, harganya adalah sebanyak RM9.50 sekampit untuk satu kg.

“Jadi mereka terus membohong seolah-olah tidak ada Tuhan bagi mereka. Terus berbohong dan memfitnah mengatakan 1 Julai semua subsidi dibatalkan sedangkan  subsidi minyak masak, gas masak, petrol dan diesel dikekalkan. Tak ada apa yang ditarik balik.

“Yang kita tak teruskan subsidi one-off hanya minyak masak berbotol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Perak di Litar Dato’ Sagor, di sini pada Ahad.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh dan sentiasa mencari kaedah terbaik dalam menangani masalah kos sara hidup rakyat.

“Minggu lepas di Masjid Jamek, Kampung Baru sebuah parti politik pembangkang mengadakan demonstrasi.

“Berbagai tuduhan dibuat terhadap kerajaan seolah-olah berpeluk tubuh dan tidak mengambil tindakan kos sara hidup meningkat.

“Fenomena kenaikan harga barang tidak berlaku di Malaysia semata-mata tetapi ia adalah isu global,” katanya.

Justeru, beliau berkata bagi menangani kos sara hidup kerajaan memperuntukkan RM70 bilion untuk barangan asas dan tiada subsidi yang ditamatkan.

#PerakKini #isu #subsidi #tipu #pembangkang #PasirSalak

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *