Gembira terima kerusi roda pemberian Ketua Whip MBI

Mazlan (berdiri kiri) bersama Razali dan isterinya, Tasminah selepas menyerahkan sumbangan kerusi roda di rumah mereka di Bandar Baru Putra pada Jumaat.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pesakit kencing manis, Razali Jusoh, 58, gembira menerima kunjungan Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman yang melawat kediamannya di Bandar Baru Putra, di sini pagi tadi.
Razali menghidap penyakit itu sejak beberapa tahun lalu mengakibatkan kaki kirinya dipotong pada tahun 2019.
Katanya, sumbangan sebuah kerusi roda daripada Mazlan memberikan sinar dapat meringankan bebannya untuk menguruskan kehidupan harian serta memudahkannya untuk bergerak.
“Sebelum ini saya memakai kaki palsu dan pergerakan amat terbatas namun bersyukur kerana isteri (Tasminah Tuhiman, 58) sentiasa berada di sisi,” katanya ketika ditemui Perak Kini, pada Jumaat.
Pesara Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) itu terpaksa bersara awal selepas mendapati penyakitnya semakin serius.
Dia yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera selama 13 tahun mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Mazlan kerana cakna akan masalah yang dihadapinya itu.
“Sebelum ini, saya pernah cuba meminta bantuan beberapa pihak untuk mendapatkan kerusi roda tetapi sehingga kini tiada jawapan.
“Bagaimanapun, selepas berjumpa Datuk Mazlan pada Ahad lalu, beliau segera menunaikan permintaan saya dan menyumbangkan kerusi roda pada hari ini,” ujarnya.
Sementara itu, Mazlan berkata beliau bertemu dengan Razali di Pasar Awam Tanjung Rambutan yang menyatakan hasrat untuk mendapatkan bantuan kerusi roda.
“Jadi saya melaksanakan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis untuk menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan abang ini (Razali) bergerak.
“Alhamdulillah, hari ini tertunailah hajat abang ini untuk memiliki kerusi roda.
“Justeru, saya berdoa semoga abang ini diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
#PerakKini #MBIPrihatin #sumbangan #kerusiroda #DunHuluKinta
