Kerusi Changkat Jong milik DAP – Anthony Loke

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Tidak sampai 24 jam Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengumumkan calonnya, Dr Muhaimin Sulam untuk bertanding di kerusi Changkat Jong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), nama Badrul Hisham Badarudin pula diumumkan untuk bertanding di kerusi sama pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) – DAP Perak malam tadi.

Susulan itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa kerusi Changkat Jong adalah milik DAP Perak mengikut keputusan yang dicapai secara konsensus di peringkat kepimpinan tertinggi Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis lalu.

“Tidak ada soal bertembung kerana hanya satu calon dari PH akan bertanding bagi setiap kerusi.

“Itu keputusan yang dicapai secara konsensus di peringkat kepimpinan tertinggi Majlis Presiden PH membabitkan saya bersama-sama, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan disaksikan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita telah mengadakan mesyuarat ‘Top 3’ sebelum Konvensyen Harapan 2022 yang diadakan di Ipoh pada minggu lalu dan persetujuan telah dicapai pada ketika itu.

“Jadi, kita bukannya mengumumkan sesuatu yang belum ada keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mengumumkan calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) PH – DAP Perak di sini malam tadi.

Menurutnya, senarai calon yang diumumkan pada malam ini keputusannya sudah dimuktamadkan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan tidak mengetahui berhubung pengumuman calon Amanah Perak yang akan bertanding di kerusi sama.

“Saya tidak tahu mengenai pengumuman calon Amanah Perak kerana itu adalah diperingkat negeri.

“Setahu saya kerusi Changkat Jong adalah milik DAP seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat tersebut (Majlis Presiden PH) dan surat watikah akan diselaraskan di peringkat pusat.

“Saya rasa itu mungkin sedikit salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya.

Untuk rekod, pada PRU14 kerusi Changkat Jong dimenangi calon Barisan Nasional, Mohd Azhar Jamaluddin yang mengalahkan calon dari PH Muhammad Faizul Mohamed Ismail (Bersatu) dengan majoriti tipis 67 undi.

#PerakKini #DAP #Amanah #ChangkatJong #PRU15

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *