Kita tunggu keputusan Peguam Negara terhadap representasi – Ahmad Zahid
Oleh Rosdalilah Zahari
BAGAN DATUK – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak tidak mengganggu siasatan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap representasi yang dikemukakan berkaitan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau.
Menurutnya, semua pihak diminta memberi ruang kepada AGC untuk menjalankan siasatan tersebut.
Katanya, sebelum ini AGC telah mengeluarkan kenyataan media menjelaskan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) bukan pertama kali berlaku.
“Kita tunggulah apa keputusan yang akan dibuat AGC terhadap representasi yang menunggu siasatan teliti oleh mereka dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan juga beberapa elemen di dalam representasi itu termasuklah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Malaysia Next Leaders Bagan Datuk 2023 di Dewan Dato’ Lope Hashim pada Ahad.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Faisalludin Mohamat Yusuff.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pemuda Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan akan mengadakan satu perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo di sini Sabtu ini, bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata kempen itu digerakkan pihaknya susulan keputusan melepas tanpa membebaskan DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, Isnin lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata semua pihak sepatutnya mematuhi proses perundangan bagaimana yg termatub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tak kata setuju atau tak setuju (demonstrasi). Kalau mereka nak buat demo hari-harii pun mereka boleh buat, tapi kesannya apa? Kita harus mematuhi proses perundangan bagaimana yg termatub dalam Perkara 145 (3) Perlembagaan Malaysia,” jelasnya.
#PerakKini #AhmadZahidHamidi #JabatanPeguamNegara #RBZ