Penganjur perhimpunan ada masa hingga hari ini kemuka permohonan – Timbalan KPN

qrf

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Penganjur Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia mempunyai masa sehingga hari ini untuk mengemukakan permohonan kepada polis bagi melaksanakan perhimpunan yang dijangka berlangsung di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata setakat ini polis belum menerima sebarang permohonan daripada penganjur terbabit.

Menurutnya, sebarang rancangan atau permohonan untuk membuat perhimpunan perlulah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil jika penganjur gagal mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlulah membuat permohonan lima hari sebelum diadakan.

“Saya belum pasti (penganjur) dah buat permohonan lagi atau tidak, saya akan semak, tapi hari terakhir mereka perlu buat permohonan adalah hari ini iaitu lima hari sebelum tarikh perhimpunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian Hari Ulang Tahun Pasukan Gerakan Udara Ke-44 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mat Kasim Karim; Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, Datuk Seri Sahabudin Abd Manan; Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dan Komander Pasukan Gerakan Udara, Datuk Noor Sham Md Jani.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata selain polis, penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kompleks Sogo dan pemilik premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut.

“Dalam konteks ini, saya difahamkan perhimpunan ini akan diadakan di kawasan Sogo, jadi mereka (penganjur) perlu dapat kebenaran daripada DBKL dan Sogo,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan perhimpunan itu pada 16 September ini.

Perhimpunan yang dijadualkan bermula jam 2 petang itu bertujuan membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

#PerakKini #PDRM #PerikatanNasional #HimpunanGerakanSelamatkanMalaysia #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *