IPOH – Pasukan Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Cawangan Taiping bertindak pantas menyiasat sebuah stesen minyak berikutan aduan dan penularan maklumat di media sosial mengenai dakwaan penjualan minyak RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pihaknya bertindak pantas menjalankan siasatan selepas menerima aduan dan maklumat yang tular di media sosial berhubung kejadian berkenaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 10 Ogos 2026 jam 4.00 petang, di mana minyak dibayar menggunakan kad kredit di terminal pembayaran luar (OTP) dan pihak berkuasa telah menyemak rekod transaksi serta merakam dan meneliti rakaman CCTV stesen minyak tersebut untuk rujukan siasatan.

"Dua kes telah dibuka untuk tindakan undang-undang iaitu pertama, di bawah Subperaturan 3(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 2026 kerana melanggar larangan menjual RON95 kepada kenderaan asing tanpa kebenaran bertulis dan kedua di bawah Subperaturan 4(3) peraturan yang sama atas pelanggaran peruntukan berkaitan larangan pembelian barang kawalan tersebut," ujarnya.

KPDN Perak menegaskan komitmen memantau dan menguatkuasakan peraturan bagi memastikan bekalan bahan api terkawal dan disalurkan kepada golongan yang layak mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
Beliau turut menambah, kes dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan peraturan berkaitan bagi individu boleh disabitkan denda sehingga RM1 juta, penjara 3 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kes melibatkan badan korporat pula, denda sehingga RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.
Orang ramai diminta bekerjasama melaporkan sebarang penyelewengan melalui saluran rasmi:
WhatsApp: 019-848 8000
Portal: [email protected]
Talian bebas tol: 1-800-886-800 Emel: [email protected]
Aplikasi: Ez ADU KPDN