IPOH: Cubaan memindahkan 101 ekor kambing secara haram berjaya dipatahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak menerusi Ops Korban Tegas 2026 di Bidor, awal pagi Khamis.
Pengarah JPV Perak, Dr Saifullizam Abd Kadir berkata, sepasukan anggota penguat kuasa menahan sebuah kenderaan kira-kira jam 3.30 pagi di Hentian Sebelah Ladang Bikam arah selatan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan dokumen pemindahan ternakan yang sah.
“Mereka turut menggunakan kanvas untuk menutup keseluruhan bahagian belakang kenderaan bagi mengaburi pihak penguat kuasa, namun taktik itu gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.
Katanya, Ops Korban Tegas 2026 dilaksanakan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi membanteras aktiviti pemindahan ternakan tanpa kebenaran sah sehingga hari perayaan.



