KPKT peruntuk RM2 juta bagi kerja naik taraf Pasar Besar Ipoh dan pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji

Kor Ming ketika melawat tapak pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji di sini, hari ini. Foto: Unit Komunikasi Korporat KPKT

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi menaik taraf Pasar Besar Ipoh dan membina Pasar Sementara Pasar Pasir Pinji kata Menterinya, Nga Kor Ming.

Menurutnya, Pasar Besar Ipoh adalah pasar utama yang menjadi tumpuan serta terletak di lokasi strategik di bandar raya ini yang menempatkan kira-kira 800,000 orang penduduk.

Justeru, beliau berkata KPKT meluluskan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf kemudahan asas antaranya seperti membaiki kerosakan kabel elektrik dan lantai sekitar pasar berkenaan.

“Kerja-kerja membaiki kemudahan asas akan dilaksanakan terlebih dahulu pada tahun ini dan kita akan merancang kerja menaik taraf pasar itu secara keseluruhan secara teliti sebelum mengumumkan peruntukan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata KPKT turut meluluskan projek pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji sebagai penempatan tapak perniagaan sementara buat 229 peniaga sehinggalah pembinaan pasar baharu siap sepenuhnya.

Katanya, pelaksanaan projek bernilai RM1 juta itu akan memberi kemudahan dan manfaat kepada peniaga dan pengunjung pasar khususnya penduduk setempat.

“Pasar Pasir Pinji yang berusia lebih daripada 50 tahun ini adalah pasar lama yang uzur dan daif.

“Justeru, pembangunan semula pasar ini secara amnya, dapat menyumbang kepada peningkatan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

“Selain itu, pembangunan semula ini dapat meningkatkan kualiti serta taraf kemudahan pasar dan perkhidmatan awam yang berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata pembinaan pasar baharu itu akan menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan ruang parkir kenderaan yang mencukupi kepada peniaga dan pengunjung serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pasar.

Terdahulu, Kor Ming mengadakan lawatan ke tapak Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini.

#PerakKini #KPKT #PasarBesarIpoh #PasarPasirPinji #naiktaraf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *