Pasar awam lama bakal berubah wajah sebagai Pasar Warisan Negara

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memberi nafas baharu kepada pasar-pasar awam bersejarah dan lama kepada Pasar Warisan Negara.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata bagaimanapun ciri-ciri bangunan yang sedia ada akan dikekalkan tanpa merosakkan struktur asal bagi menarik pelancong untuk berkunjung ke situ.
Menurutnya, pasar awam lama pertama yang akan dibangunkan sebagai Pasar Warisan Negara di Perak adalah di Taiping memandangkan ia sudah beroperasi sejak 1875.
“Pasar awam bertaraf warisan negara itu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap serta akan dirasmikan pada 2024 sempena perayaan ke 150 tahun Taiping sebagai Bandar Warisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan sesi lawatan dan pemberian angpau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Besar Ipoh di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat dan Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh, Ahmad Munir Ishak.
Sementara itu, Kor Ming turut memaklumkan bahawa KPKT telah meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf Pasar Besar Ipoh.
#PerakKini #KPKT #naiktaraf #pasarawamlama #PasarWarisanNegara #Taiping
