LAWATAN KERJA DELEGASI BANDAR RAYA NANNING KE BANDAR RAYA IPOH

Delegasi Nanning Municipal People’s Government ke negeri Perak Darul Ridzuan yang diketuai oleh  Nong Shengwen,  Member of the Standing Committee of CPC (Communist Party of China) Guangxi Committee and the Secretary of CPC Nanning Committee telah mengadakan Lawatan Kerja Bandar Raya Nanning, China ke Bandar Raya Ipoh petang semalam.

 

Sandrea Ng Shy Ching, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak telah mewakili Menteri Besar Perak dan Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak telah meraikan delegasi tersebut.

 

Ia turut dihadiri oleh Wong May Ing, ADUN Pantai Remis, Wong Chai Yi, ADUN Simpang Pulai, Dato Rumaizi Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh, Fan Xiaomin,  Member of the Standing Committee of CPC Nanning Committee, Vice Mayor of Nanning dan . Man Baoming, Counsellor for Nanning Municipal People’s Government.

 

Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan bilateral di antara Kerajaan Negeri Perak dan Bandar raya Nanning, China serta mengeksplorasi peluang kerjasama yang dapat membawa faedah kepada kedua-kedua pihak dalam pelbagai lapangan termasuk aspek pelancongan, pendidikan, pemuliharaan dan pembangunan tenaga hijau, ekonomi digital, logistik, pembangunan taman industri, pelaburan antarabangsa dan sebagainya.

 

Ia juga bagi menyahut semangat kerjasama bersempena Ulangtahun ke-50 Hubungan Diplomatik China-Malaysia yang mana akan turut diadakan Majlis Pra-Pelancaran Expo Perdagangan Francais Dan Pelesenan, Perdagangan Digital dan AI.

 

Expo perniagaan ini akan dianjurkan di Ipoh ini bagi menyokong aktiviti francais, ekonomi digital, AI dan produk-produk halal yang mempromosi kaedah-kaedah baru perdagangan dan pelaburan untuk usahawan tempatan serta antarabangsa.

 

Jalinan kerjasama di antara Perak dan Nanning Municipal People’s Government telah mula terjalin setelah terwujudnya hubungan Bandar Raya Persahabatan antara Bandar raya Ipoh dan Bandar raya Nanning, China yang dimeterai sejak tahun 2005 lagi.

 

Hubungan Bandar Raya persahabatan ini dibina berdasarkan kepentingan bersama bagi memperkukuhkan dan memajukan perkongsian, kerjasama dan mempromosikan kesefahaman antara Malaysia dan China.

 

Pada 9 Jun 2023, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman telah diadakan untuk membaharui semula pewujudan Bandar Raya Persahabatan ini yang turut disaksikan oleh. Zhou Youbin, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Pulau Pinang.

 

Sepanjang 18 tahun hubungan persahabatan ini terjalin, pelbagai kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi, perdagangan, kebudayaan, pendidikan dan sukan telah dimanfaatkan.

 

Sebagai contoh, MBI amat berterima kasih di atas sumbangan Pihak Bandaraya Nanning, China atas dua (2) unit alat bantuan penafasan (Ventilator) pada 15 Januari 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19 melanda dunia, yang telah membantu ramai pesakit Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh

(HRPB)

 

Malaysia menyediakan pelbagai peluang kepada pelabur untuk pelbagai sektor bagi merancakkan aktiviti ekonomi negara ini.

 

Pihak Kerajaan Negeri dengan kestabilan politik yang kukuh selepas pilihan raya negeri 2022, telah menyediakan garis panduan yang jelas untuk pembangunan Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030.

 

Pelan ini dirangka bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan sosioekonomi yang seimbang di negeri Perak.

 

Selari dengan itu, Pelan Pembangunan Perindustrian Perak (P3) memfokuskan kepada lima (5) sektor utama iaitu Elektrikal & Elektronik (E&E), Automotif, Industri Mesin dan Peralatan, Industri Mineral, Bioteknologi & Industri Halal, dan Ekonomi Digital & Perkhidmatan Berkaitan Pembuatan.

 

Dalam hal ini, dua (2) Projek Mega yang sedang giat diusahakan adalah Automotive High-Tech Valley (AHTV) dan Kerian Intergrated Green Industrial Park (KIGIP).

 

AHTV di Tanjung Malim, Perak merupakan inisiatif baru yang dirancang menjadi pemangkin utama kepada industri automotif Malaysia.

 

AHTV akan menjadi pusat bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) komponen automotif berteknologi tinggi bagi iklim tropika.

 

Projek ini dijangka akan menarik pelaburan bernilai RM32 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, serta mencipta ribuan peluang pekerjaan, dan membantu Malaysia menjadi peneraju rantau dalam pengeluaran kenderaan generasi seterusnya (NxGVs).

 

KIGIP di Kerian, Perak pula dirancang bagi memperluaskan ekosistem E&E Malaysia. Inisiatif ini diumumkan oleh  Perdana Menteri semasa Bajet 2024 pada 13 Oktober 2023 yang lalu.

 

Taman industri ini dijangka akan memberi impak besar terutamanya bagi sektor E&E di Negeri Perak serta menjadikan persekitaran perniagaan bagi Utara Perak lebih kondusif.

 

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil inisatif untuk membangunkan Pelan Perak Lestari 2030 yang bertujuan untuk memberi panduan dan hala tuju yang tepat ke arah pembangunan negeri selari dengan pengekalan ekosistem alam sekitar yang mampan dan lestari serta memperkasakan tahap ekonomi secara progresif dan berteknologi tinggi.

 

Pelan Perak Lestari 2030 meliputi 12 sektor iaitu Pertanian, Tenaga, Perhutanan, Perlombongan, Pelancongan, Pengangkutan, Pengurusan Sisa, Air, Pembuatan, Digital Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bangunan dan Pembinaan yang berpotensi untuk dibangunkan dengan perancangan pelaksanaan yang strategik melalui usaha sama bersama rakan strategi dan pihak industri.

 

Perak juga memberi penekanan besar kepada kelestarian melalui rangka kerja Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus atau yang dikenali sebagai rangka kerja ESG.

 

Kami menyokong sebarang program yang membantu pengilang kami, terutamanya pengeksport, untuk mematuhi keperluan ESG pasaran antarabangsa lain. Kami juga turut mengalu-alukan lebih banyak pelaburan di dalam sektor Tenaga Boleh  Diperbaharui dan teknologi hijau lain.

 

Semoga pertemuan ini akan dapat membantu kedua-dua pihak mengadakan perbincangan bagi membuka jalan meluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang berpotensi seterusnya dapat memperkukuhkan hubungan diplomatik di antara Kerajaan Negeri Perak dan Bandar raya Nanning khususnya dan Malaysia-China amnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *