MBI nafi dakwaan tanah runtuh di Waterfront City, pemaju buat laporan polis

Tangkap layar video di platform TikTok mengenai dakwaan itu baru-baru ini.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui satu kenyataan malam tadi menafikan berlaku tanah runtuh di kawasan pembangunan perumahan di Waterfront City, Lahat Mines sepertimana dakwaan seorang pemilik akaun TikTok yang menyebarkan video tersebut baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, pihak pemaju juga sudah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun TikTok terbabit di atas kenyataan palsu yang dilihat boleh menjejaskan reputasi syarikat tersebut.

“Berikutan penyebaran video TikTok berkenaan dakwaan tanah runtuh di kawasan pembangunan Lahat Mines, dimaklumkan bahawa penyebaran video tersebut adalah tidak benar. Tidak berlaku apa-apa kejadian tanah runtuh di kawasan Waterfrontcity, Lahat Mines.

“Malah, pemaju telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun TikTok tersebut kerana dakwaannya boleh menyebabkan terjejasnya nama syarikat dan penjualan rumah mereka,” ujar kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu turut memberitahu bahawa terdapat rekahan kecil tanah yang berlaku di kawasan pembangunan kerana pembangunan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan sedang berjalan secara berperingkat mengikut perkembangan projek.

“Pihak konsultan telah dilantik oleh pihak syarikat bagi memberi nasihat dan memaklumkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan cerun yang sesuai dilaksanakan.

“Misalnya teknik-teknik penjagaan cerun seperti secara ‘Hydroseeding Centrosema Pubescens’ ‘Berm Drain” Casket Drain’, ‘Pump Sump’, ‘Water Discharge System’ dan pembinaan parit saliran yang sesuai bagi pengaliran air bagi hakisan mengelakkan hakisan tanah dari berlaku lagi.

“Pembinaan-pembinaan ini sedang dijalankan sejajar dengan pembangunan pemajuan yang telah diluluskan,” jelas kenyataan tersebut.

Pada 22 Februari lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata MBI sudah meminta pihak pemaju menyediakan laporan lengkap berhubung dakwaan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan Waterfront City itu.

#PerakKini #tanahruntuh #tidak benar #WaterfrontCity #LahatMines #Ipoh #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *