Subsidi telur ayam diteruskan hingga Jun babit kos RM1.28 bilion

Foto: Media Sosial

Oleh Rosdalilah Zahari

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 17 Februari lalu mencapai kata sepakat untuk meneruskan pemberian subsidi bagi telur ayam sehingga Jun ini yang membabitkan kos sebanyak RM1.28 bilion.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pihaknya sentiasa memantau keperluan bekalan telur ayam dalam pasaran dan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan bagi menjamin bekalan telur ayam dalam negara stabil seperti sediakala.

Menurut kenyataan itu, langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil, sementara kajian mengenai mekanisme dan dasar penyaluran subsidi secara bersasar dapat dimuktamadkan dalam tempoh masa terdekat.

“KPKM juga ingin memaklumkan bahawa inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar adalah merupakan langkah sementara bagi memastikan bekalan telur ayam dalam negara kekal stabil dan tidak terputus.

“Keperluan untuk membawa masuk telur ayam dari luar negara juga akan dikaji semula setelah bekalan telur ayam kembali stabil.

“Justeru, KPKM akan terus komited untuk bekerjasama dengan semua pemegang taruh bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan dan dalam masa yang sama dapat memastikan kehidupan rakyat tidak terbeban,” jelas kenyataan itu.

#PerakKini #KPKM #subsidi #telurayam #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *