MBI PBT pertama di Malaysia tandatangani MoU bersama MACP Berhad

Rumaizi (dua kiri) bersalaman dengan M Nasir (dua dari kanan) selepas selesai menandatangani MoU sambil diperhatikan oleh Mary (kanan) di MBI pada Selasa.
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP).
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata dengan termeterainya memorandum ini, secara tidak langsung membantu menjalinkan kerjasama strategik dan mantap antara kedua-dua pihak.
“Justeru, kerjasama ini memastikan RadioTV Majlis Bandaraya Ipoh (RTBI) serta acara persembahan awam yang dianjurkan mendapatkan lesen yang sah daripada MACP,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menandatangani perjanjian berkenaaan di Bangunan MBI di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi MACP, Datuk M Nasir dan Pengurus Besar MACP, Mary Yap.
Dalam perkembangan sama, Rumaizi berkata kerjasama ini sejajar dengan hasrat serta inisiatif MBI bagi merealisasikan Ipoh sebagai bandaraya seni.
“Kerjasama yang terlaksana ini menunjukkan bahawa MBI adalah badan pengguna muzik yang prihatin dan sentiasa responsif dalam menegakkan hak-hak pengkarya muzik Malaysia.
“MBI turut menzahirkan bahawa hak cipta perlu dihormati di mana muzik sebagai suatu harta intelek itu perlu diberikan ganjaran bayaran sewajarnya kepada pengkarya muzik,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata MBI akan terus menyokong usaha memartabatkan karya seni anak tempatan yang akan menjadi sebuah warisan dan aset kebudayaan yang tinggi nilainya.
Sementara itu, M Nasir berterima kasih di atas usaha MBI yang mengambil inisiatif untuk mengadakan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak.
MACP Berhad adalah satu organisasi pengurusan kolektif yang mewakili pemunya hak cipta muzik seperti komposer, pengubah lagu, penulis lirik dan penerbit muzik sebagai ahli MACP.
Objektif utama MACP adalah untuk membantu melestarikan hak ekonomi para pengkarya tanah air melalui perlesenan penggunaan muzik secara komersil, secara penyampaian kepada awam, penyiaran kepada awam atau dipersembahan awam.
#PerakKini #MBI #MACP #MOU #Ipoh
