Warga emas terlantar, anak perempuan OKU dibantu

Nooriah dibantu petugas Klinik Briged Utara PGA Ulu Kinta untuk dihantar ke HRPB bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Oleh Rosdalilah Zahari

ULU KINTA – Nasib warga emas sakit terlantar yang dijaga anak orang kurang upaya (OKU) mendapat perhatian Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman.

Difahamkan, Nooriah Mohamed Idris, 82, dan anak perempuan OKU, Noor Fadillah Osman, 51, hanya tinggal berdua di rumah mereka di Batu 8, Ulu Kinta.

Mazlan berkata disebabkan keadaan Nooriah yang uzur dan tidak mampu bergerak atas faktor masalah kesihatan, beliau meminta bantuan ambulan Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta untuk menghantar warga emas itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, Noor Fadillah turut dibawa bersama ke HRPB kerana mengalami kecederaan di dahi kerana mengalami kemalangan kecil di dalam rumahnya.

“Hari ini saya berkesempatan melawat Makcik Nooriah dan anaknya yang tinggal di dalam rumah kurang selesa kerana terdapat haiwan seperti ayam, itik dan kucing masuk berkeliaran di dalam tempat tinggal mereka itu.

“Mereka juga tidak mampu menguruskan diri masing-masing dan mengharapkan penduduk berhampiran untuk menghulurkan bantuan.

“Selepas melihat keadaan dua beranak tersebut saya akan berusaha untuk panjangkan perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mereka dapat diberikan bantuan sewajarnya,” katanya ketika ditemui Perak Kini, di Batu 8, Ulu Kinta, di sini pada Selasa.

Mazlan (kanan) ketika melawat ke rumah Nooriah pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Kampung Melayu Batu 8, Mohd Zainudin Abdullah bersama beberapa anggota penguat kuasa MBI.

Beliau turut berterima kasih kepada penduduk berhampiran yang mengambil berat serta prihatin dalam membantu menguruskan keperluan harian  kedua beranak itu.

Justeru, Mazlan berharap masalah yang dihadapi warga emas bersama anaknya itu dapat diselesaikan segera supaya mereka boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik dan selesa.

#PerakKini #bantu #wargaemas #OKU #Batu8 #UluKinta

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *