MBI tambah pam air, kolam tadahan atas masalah banjir kilat

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meneruskan beberapa kaedah bagi mengatasi kejadian banjir kilat daripada berulang, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud.

 

Beliau berkata, antaranya kaedah yang akan dilaksanakan termasuklah menambah pam air serta kolam tadahan dan setakat ini lokasi utama yang sudah dikenalpasti adalah di aliran Sungai Pinji.

 

Menurutnya, bagi memastikan kerja itu dapat dilaksanakan MBI bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

 

“Kita sedang bincang dengan JKR dan JPS untuk melihat kaedah terbaik. Mungkin kita perlu lebih kolam tadahan, tidak semestinya hanya lebarkan longkang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Pakaian Raya Ramadan Cheers anjuran Theta Edge Berhad dengan kerjasama MBI di Mydin Meru Raya, pada Jumaat.
Penerima sumbangan bergambar kenangan bersama Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud selepas Majlis Penyampaian Pakaian Raya Ramadan Cheers anjuran Theta Edge Berhad dengan kerjasama MBI di Mydin Meru Raya, pada Jumaat.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud menyampaikan sumbangan kepada anak-anak dari golongan B40 pada Majlis Penyampaian Pakaian Raya Ramadan Cheers anjuran Theta Edge Berhad dengan kerjasama MBI di Mydin Meru Raya, pada Jumaat.

“Dulu kita buat di Sungai Pari sekarang di aliran Sungai Pinji, termasuk dalam kawasan Taman Cempaka dan sebagainya.

 

“Untuk jangka pendek kita mungkin terpaksa tambah pam air dan untuk jangka sederhana mungkin perlu buka kolam tadahan baharu,” katanya.

 

Katanya, MBI sedang membuat kajian berhubung sistem saliran di bandar raya ini.

 

“Bagaimanapun, hujan luar biasa di beberapa kawasan termasuk Ipoh baru-baru ini antara faktor mengapa banjir kilat kerap berlaku,” jelasnya.

 

Beliau berkata, pihaknya sudah banyak menambah baik sistem saliran pada tahun lalu namun ia masih tidak mampu untuk menampung taburan hujan.

 

“Isu di Ipoh, bila banjir kilat dan paras air sungai tinggi, maka air longkang tidak dapat masuk ke sungai sebab air itu ditendang balik… bila rendah (paras air) barulah aliran itu dapat masuk,” ujarnya.

 

Sejak kebelakangan ini, bandar raya Ipoh kerap dinaiki air setiap kali hujan lebat berlaku. Ini dipercayai berpunca daripada masalah sistem perparitan di sekitar bandar raya ini.

 

Terdahulu, Rumaizi menyampaikan sumbangan kepada 50 anak-anak dari golongan B40 di Majlis Penyampaian Pakaian Raya Ramadan Cheers anjuran Theta Edge Berhad dengan kerjasama MBI di Mydin Meru Raya, pada Jumaat.

 

Melalui program itu, Theta Edge Berhad  menyumbangkan RM10,000 dalam bentuk baju raya berserta songkok atau tudung yang bernilai RM150 dan sumbangan duit raya sebanyak RM50 kepada setiap penerima.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Theta Edge Beehad, Nuraslina Zainal Abidin.

#PerakKini #banjirkilat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *