Penduduk Ipoh diminta bersabar, tong sampah percuma akan diagih secara berperingkat

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Dalam usaha meningkatkan tahap kebersihan di bandar raya ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membekalkan 1,300 tong sampah secara percuma kepada penduduk di Bandar Baru Putra, di sini pada Sabtu.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman berkata pemberian tong sampah ini adalah fasa kedua selepas fasa pertama dilaksanakan pada tahun lalu.
Katanya, bagi penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta yang masih belum menerima tong sampah percuma diharap dapat bersabar kerana ia akan diedarkan secara berperingkat-peringkat.



“Kepada penduduk DUN Hulu Kinta yang masih belum menerima tong sampah percuma jangan bimbang, MBI akan memberikannya secara berfasa sehingga seluruh bandar raya Ipoh akan mendapat tong sampah itu.
“Sasaran kita untuk beri (tong sampah) kepada golongan kos rendah dan mereka dari golongan B40. Jadi, harapan saya kepada penduduk Bandar Baru Putra supaya sama-sama menjaga komuniti kebersihan dan jaga tong sampah sebaik mungkin jangan sampai ia hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengedarkan tong sampah kepada penduduk pada Program Membudayakan Amalan Penggunaan Tong Sampah di Bandar Baru Putra, pada Sabtu.
Hadir sama, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Baru Putra, Azizi Junit dan Pengerusi Masjid Al-Ittiahadiah, Shukor Ahmad.
Sementara itu, Pengerusi Penduduk Bandar Baru Putra, Mohd Hanifah Abd Aziz berkata ini adalah kali pertama dia menerima tong sampah percuma selepas 20 tahun menetap di kawasan berkenaan.
“Jadi saya mohon kepada penduduk di sini supaya terus menjaga kebersihan di rumah masing-masing supaya hasrat MBI untuk Menuju Ipoh Bersih pada 2023 tercapai,” ujarnya.
#PerakKini #tongsampah #percuma

