Meru Raya -Klebang 20 minit

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama empat syarikat pemaju bagi pembinaan jalan menghubungkan dan Lebuh Chepor Utama 2 di Meru Perdana dengan Lebuh Klebang Putra di Klebang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata, penyambungan jalan itu dijangka akan memendekkan masa perjalanan sebanyak 20 minit.

“Sebelum ini, laluan utama dari Klebang ke Meru melalui Pekan Chemor sentiasa sibuk terutamanya pada waktu puncak. Pembinaan jalan ini, secara tidak langsung dapat menjimatkan masa perjalanan warga Ipoh di samping merancakkan aktiviti pembangunan, terutamanya aktiviti perniagaan sedia ada di Klebang Putra dan Meru Perdana.

“Bagi mempercepatkan perlaksanaan projek terbabit, MBI akan melaksanakannya dengan kaedah ‘Smart Partnership’ bersama empat syarikat pemaju iaitu Syarikat Ain Bina Development Sdn Bhd, Satin Tiara Sdn Bhd, Scientex Quatari Sdn Bhd dan Total Investment Sdn Bhd,” katanya pada sidang media selepas menandatangani MoU tersebut yang disaksikan Ahli Majlis MBI Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Rumaizi berkata, anggaran kos bagi keseluruhan projek terbabit adalah sebanyak RM 6.4 juta melibatkan pembinaan sebuah jambatan merentangi Sungai Klebang dan pembinaan jalan empat lorong dua hala sepanjang 1.6 kilometer (km).

Tambahnya, MBI menganggarkan 1,617 buah rumah dan lot-lot kedai akan dibangunkan oleh pemaju di kawasan berkenaan dalam tempoh lima tahun.
“Pihak majlis serta kerajaan negeri dijangka akan menerima anggaran hasil cukai daripada pembangunan terbabit sebanyak RM323,000 setahun,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *