Nahas 3 kenderaan Tapah: Pemandu treler muatan simen ada 13 saman trafik

Foto Ihsan JBPM Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
TAPAH – Pemandu treler muatan simen yang maut dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer (KM) 317.4 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, petang semalam, mempunyai 13 saman trafik sejak tahun 2010 sehingga tahun ini.
Malah, salah satu daripada saman yang diperoleh pemandu berumur 31 tahun itu adalah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2018.
Kejadian kemalangan itu turut mengakibatkan seorang lagi pemandu lori berusia 67 tahun yang membawa muatan tembikai maut manakala seorang wanita berusia 46 tahun iaitu pemandu kenderaan pacuan empat roda (4X4) cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Tapah.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan itu kira-kira jam 5.30 petang.
Menurutnya, kemalangan melibatkan tiga kenderaan berhampiran Chenderiang, Tapah yang menyebabkan dua pemandu lelaki berumur 31 dan 67 tahun maut di lokasi kejadian.
“Siasatan pihak polis di lokasi kemalangan mendapati treler muatan simen yang dipandu lelaki berumur 31 tahun itu dalam perjalanan dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan dan terbabas merempuh pembahagi tengah lebuh raya.
“Treler terbabit kemudian melanggar lori muatan tembikai dan pacuan empat roda yang sedang bergerak di laluan bertentangan arah selatan ke utara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan polytrauma secondary to vehicle accident.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kemalanham tersebut diminta berhubung Pegawai Penyiasat Kes Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tapah, Inspektor Nor Hazliyani Hashim di talian 05-401 1222 untuk membantu siasatan dalam kes ini,” katanya.
#PerakKini #kemalangan #maut #Tapah #13samantrafik #RBZ
