OKU HASILKAN 100 PETAK IKAN SANGKAR

PARIT BUNTAR– Walaupun tanpa sebarang pengalaman ditambah pula dengan keadaan diri yang mengalami kecacatan fizikal dan bergelar Orang Kurang Upaya (OKU), namun itu tidak menghalang semangat seorang lelaki untuk mengusahakan ternakan ikan laut sangkar di Perairan Tanjung Piandang, disini.

Lebih membanggakan apabila Mohd Nazri Hussin, 42, merupakan satu-satunya pengusaha Melayu di daerah Kerian yang kini berjaya dan memiliki hampir 100 petak ternakan ikan laut sangkar.

Mohd Nazri berkata dia mula memberanikan diri mengusahakan ternakan ikan sangkar pada tahun 2018 selepas gagal dalam ternakan siput sudu atau kupang yang diusahakannya pada pertengahan tahun 2016.

” Selepas gagal dalam ternakan siput kupang yang disebabkan faktor air disini, saya mengambil risiko untuk mencuba pula ternakan ikan sangkar seperti kerapu, siakap, jenahak, nyoq-nyoq dan ikan merah.

” Pada awalnya saya tak begitu yakin disebabkan tiada sebarang sokongan dan tunjuk ajar dari pihak berkaitan, namun berkat tunjuk ajar dan sokongan dari rakan-rakan yang berlainan bangsa yang mempelopori ternakan ikan ini, Alhamdulillah usaha saya berhasil malah saya juga kini mampu memasarkan hasil ternakan ikan ini kepada peraih seluruh Malaysia,”katanya ketika ditemui media.

Mohd Nazri berkata bermula hanya 20 petak , kini dia mampu mengusahakan hampir 100 petak sangkar dimana setiap petak terdapat hampir 3,000 ekor ikan pelbagai jenis dan saiz.

” Dianggarkan setiap hari kira-kira 1,000 kilogram @ satu tan ikan baja akan diberikan kepada ikan yang diternak disini dan ikan-ikan baja ini diperolehi dari nelayan sekitar.

” Disangkar ini saya dan lima pekerja akan mengasingkan ikan yang diternak mengikut saiz dan jenis ikan bagi memudahkan proses mengenal pasti ikan yang cukup matang sebelum dipasarkan.

” Setiap ikan yang dipasarkan berharga antara RM 18 hingga RM 38 sekilogram mengikut jenis dan beratnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohd Nazri amat berharap pihak berkaitan dapat segera meluluskan permohonan lesen TOL yang dimohonnya semenjak mula mengusahakan ternakan ikan itu.

Menurutnya telah banyak kali permohonan dibuat kepada pihak berkenaan, namun sehingga kini belum mendapat sebarang kata putus dan perkara itu menyukarkannya untuk membesarkan lagi perusahaannya disini selain memasarkan hasil ternakannya ke peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *