Pengamal media Perak cabar diri daki Bukit Batu Putih

Sebahagian pengamal media yang berjaya tiba di puncak Bukit pada Program Hiking Media Perak di Bukit Batu Putih sempena sambutan Hari Malaysia, kelmarin.

Oleh Rosdalilah Zahari

GOPENG – Seramai 20 pengamal media Perak daripada pelbagai agensi mencabar kekuatan fizikal dan mental masing-masing mengikuti Program Hiking Media Perak di Bukit Batu Putih, di sini, kelmarin.

Program anjuran Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) dengan kerjasama Gopeng Glamping Park itu julung kali diadakan bersempena Hari Malaysia yang akan disambut Sabtu ini.

Pengerusinya, Sayed Mohd Hesham Syed Idris berkata, program ini diadakan bagi membangkitkan semangat cintakan negara dalam kalangan pengamal media sempena Hari Malaysia.

“Program hiking ini adalah acara pertama yang dianjurkan persatuan dengan kerjasama Gopeng Glamping Park.

“Kita nak buat kelainan selain daripada bermain boling, mungkin boleh galakan media sertai aktiviti rekreasi yang mengeluarkan peluh.

“Alhamdulillah, hampir semua peserta berjaya sampai di puncak bukit dan jika ada sambutan, mungkin kita adakan program sama pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Gopeng Glamping Park, Mohd Riduan Jamaluddin berkata Bukit Batu Putih mempunyai ketinggian 310 meter dari paras laut dan mempunyai trek mendaki yang sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak menyertai hiking.

Katanya, lazimnya pendaki menaiki bukit ini untuk menikmati pemandangan Gopeng serta melihat keindahan matahari terbit ataupun terbenam.

“Lazimnya, pendakian bukit ini akan mengambil masa sekitar 30 hingga 40 minit bergantung kepada keadaan pendaki,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang berminat untuk merasai sendiri pengalaman mendaki bukit tersebut, Gopeng Glamping Park menyediakan  perkhidmatan meliputi pengangkutan, jurupandu dan snek dengan harga RM50 seorang.

#PerakKini #PPMP #GopengGlampingPark #HariMalaysia #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *