SK Buntong hasilkan replika Jalur Gemilang, Merdeka 66 guna 1,000 tempurung kelapa
Murid-murid murid SK Buntong memakai busana pelbagai kaum bergambar kenangan di hadapan replika Jalur Gemilang dan Merdeka 66 sempena sambutan penutup bulan kebangsaan sekolah tersebut pada Jumaat. - Foto Ihsan SK Buntong
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Sekolah Kebangsaan (SK) Buntong mencipta kreativiti tersendiri dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan membina replika Jalur Gemilang dan Merdeka 66 menggunakan 1,000 tempurung kelapa bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan sekolah berkenaan.
Seramai 120 murid termasuk guru bekerjasama menghasilkan replika yang mengambil masa lebih kurang dua hari untuk siap sepenuhnya.
Penyelaras Projek, Safrulzzaman Ahmad Tajuddin berkata idea untuk membina replika ini tercetus daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, R Sinnathamby sempena meraikan sambutan bulan kebangsaan peringkat sekolah berkenaan.
Menurutnya, projek ini menggunakan bahan utama iaitu tempurung kelapa dan cat berasaskan warna Jalur Gemilang.
Katanya, Guru Besar, Dr T Indhira, pentadbir sekolah dan guru-guru berganding bahu mengambil inisiatif untuk menghasilkan replika ini bagi menyemai dan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah terutamanya murid-murid.
“Ini adalah inisiatif kami bagi menunjukkan semangat patrotisme selain membantu meningkatkan hubungan antara murid-murid serta guru pelbagai kaum di sini. Itu paling penting.
“Lebih istimewa apabila murid-murid pendidikan khas turut bersama-sama terlibat meraikan hari penuh bersejarah ini,” katanya yang juga Penolong Kanan Ko Kurikulum pada Jumaat.
Safrulzzaman berkata tempurung berkenaan diperoleh daripada seorang pengusaha kelapa di Pasar Simpang Pulai, dekat sini.
Beliau berkata pihak sekolah sentiasa menggalakkan penggunaan bahan terpakai dalam usaha mendidik pelajar supaya menjadi lebih kreatif dan inovatif.
#PerakKini #SKBuntong #replika #JalurGemilang #Merdeka66 #RBZ