Pengoperasian laluan baharu KTM Komuter Utara Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar mampu cecah 2,000 penumpang sehari
rhdr
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan pengoperasian laluan baharu KTM Komuter Utara dari stesen Ipoh, Sungai Siput dan Kuala Kangsar ke stesen Butterworth, Pulau Pinang serta stesen perantaranya mampu mencecah sehingga 2,000 orang sehari.
Ketua Pegawai Korporat KTMB, Mohamed Suhaimi Yaccob berkata sebelum ini penumpang menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) untuk ke destinasi berkenaan namun kini mereka boleh menaiki KTM Komuter untuk ke lokasi tersebut.
Menurutnya, perkhidmatan KTM Komuter Utara kini menyediakan 20 perjalanan ulang alik melalui 23 stesen sehari.
Katanya, melalui penambahan laluan tersebut, selain waktu puncak termasuk hari minggu dan cuti umum, perkhidmatan itu boleh digunakan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi memandangkan perjalanannya mengambil masa yang singkat.
“Kekerapan bagi satu komuter kepada satu komuter lain adalah satu jam bagi waktu biasa, sementara dua jam bagi waktu puncak.
“Namun, kami merancang untuk menambah baik sistem perkhidmatan ini dengan menambah lebih banyak bilangan gerabak pada masa akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Hari Terbuka KTMB 2023 bersempena Sambutan Hari Malaysia di Stesen KTM Ipoh, hari ini.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sementara itu, Sze Yee berkata pembukaan laluan baharu bagi perjalanan komuter ke utara bermula pada Hari Malaysia ini secara tidak langsung membantul merancakkan sektor pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Perak 2024.
“Perkhidmatan ini bukan sahaja merancakkan lagi pergerakan dua hala dari segi komersial dan industri malah dalam aspek pelancongan,” ujarnya.
#PerakKini #KTMB #laluanbaharu #RBZ