KS2023 Ipoh himpun pelbagai kaum mengenakan busana tradisional sempena Hari Malaysia
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kemeriahan Hari Malaysia dengan penganjuran kali kedua program Keretapi Sarong 2023 (KS2023) yang melibatkan lebih 500 peserta daripada pelbagai peringkat usia dan kaum di Stesen Keretapi Ipoh, pada Sabtu.
Peserta dilihat menyarungkan busana tradisional pelbagai etnik di Malaysia dan luar negara namun masih mengikut tema dengan mengenakan kain pelikat serta batik.
Antara acara yang disusun sepanjang program ini berlangsung adalah joget lambak, perarakan ke Senja Coffee Bar @ Jalan Hale dan cabutan bertuah.
Seorang peserta, Zamrut Sulaiman, 41, dari Kuala Kangsar berkata dia bersama enam ahli keluarganya mengetahui mengenai program ini daripada laman sosial Facebook.
Katanya, pada hari ini dia memilih sepasang baju kurung kain sari manakala suaminya mengenakan pakaian tradisional kaum India iaitu kurta dan hiasan kepala ‘tappala’ manakala anak lelaki mereka Zayn Zidane, 6 bulan memakai pakaian tradisional kaum Cina samfoo.
Pekerja swasta ini menyifatkan acara berkenaan menarik perhatian dan secara tidak langsung menampilkan patriotisme rakyat serta meraikan kepelbagaian kaum di negara ini.
“Tahun lalu, hanya adik menyertai program ini dan ia nampak meriah. Jadi, hari ini saya bersama ibu bapa, suami, anak, adik dan anak saudara datang ke sini sebagai salah satu aktiviti pengisian bagi Hari Malaysia.
“Baju anak dan suami pakai tidak sampai RM200 dan baru beli pada minggu lalu,” katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Suaminya, Mohd Noorsaili Firdaus Sailillah, 40, berkata sepatutnya dia bekerja pada hari ini tetapi memandangkan dia dan isteri bercuti mereka sekeluarga datang untuk memeriahkan program berkenaan.
“Kebetulan saya dan isteri cuti hari ini, jadi kami pun turut serta bersama bayi yang dilahirkan enam bulan lalu selepas enam tahun kami menunggu,” katanya kakitangan Tenaga Nasional Berhad itu.
Seorang lagi peserta, Amanda Cheah Wei Hua, 30, berkata tahun ini dia tidak melepaskan peluang menyertai program tersebut selepas tidak dapat berbuat demikian pada tahun lalu.
Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Hing Hwa itu berkata dia memilih kebaya nyonya dan datang ke program berkenaan bersama rakan-rakannya.
“Saya adalah salah seorang penari di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri dan melalui penglibatan saya dalam aktiviti kesenian itu, saya dapat mengenali dengan lebih rapat ramai rakan berlainan bangsa, terutama Melayu,” katanya.
Sementara itu, pengasas Ipoh Social Club (ICS), Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi, 26, berkata berjalan secara serentak dengan penganjuran program yang sama di Kuala Lumpur dan Johor.
“KS 2023 Ipoh dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Local Companion (LOCCO) dan ISC yang diadakan serentak bermula jam 8.30 pagi hingga 2 petang.
“Selain Ipoh dan Kuala Lumpur, Johor juga turut menjadi lokasi program tersebut berlangsung,” jelasnya.
#PerakKini #KTMB #KS2023 #KerajaanNegeriPerak #keretapisarong #RBZ