Pengunjung digalakkan bawa bekas makanan sendiri, peniaga disaran guna bekas biodegradasi sempena Bazar Ramadan Mesra Alam MBI yang diperkenal pada tahun ini

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) buat pertama kali memperkenalkan Bazar Ramadan Mesra Alam selari dengan hasrat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang menuju ke arah bandar raya rendah karbon.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata berikutan itu pengunjung disarankan membawa bekas makanan sendiri manakala peniaga digalakkan menggunakan bekas makanan biodegradasi.

Menurutnya, peniaga juga digalakkan menyertai program kitar semula minyak terpakai bagi tujuan biofuel dengan menjual minyak masak terpakai kepada syarikat yang dilantik mengikut jadual.

“Selain itu, pelaksanaan kaedah pembayaran tanpa tunai dan aktiviti bersama Food Panda untuk pelaksanaan program ‘cashless payment’ dan penghantaran makanan turut dilaksanakan di lokasi bazar Ramadhan yang terpilih.

“Perkara ini kita laksanakannya secara berperingkat dan tidak boleh dilakukan secara terburu-buru kerana ia membabitkan kos.

“Bagi tahun pertama Ipoh menuju ke arah rendah bandar raya rendah karbon kita cuba mengurangkan penggunaan beg plastik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari 2023 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi memaklumkan bahawa Jabatan Kesihatan Persekitaran MBI akan mengadakan taklimat kepada penganjur-penganjur yang berjaya mengenai tata kelola proses pengundian petak dan Kawalan Kebersihan Tapak Bazar Ramadan.

Katanya, jabatan tersebut akan menjalankan operasi pemantauan dan persampelan makanan di bazar Ramadan untuk memastikan premis gerai dalam keadaan yang baik bagi menjamin keselamatan dan kualiti makanan yang dijual ditahap yang terbaik.

Pada tahun ini MBI akan membuka sebanyak 19 lokasi tapak bazar Ramadan dengan anggaran sebanyak 1,296 petak untuk peniaga.

#PerakKini #bazarRamadan #mesraalam #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *