Perak telah lulus pelantikan 286 daripada 325 ahli majlis PBT – MB

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan pelantikan 286 daripada 325 Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa bagi tempoh 16 Februari hingga 15 Februari 2024 melalui mesyuarat yang diadakan semalam.
Pelantikan Ahli Majlis itu adalah berdasarkan cadangan oleh parti pemerintah yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, seramai 215 (75 peratus) Ahli Majlis yang dilantik adalah lelaki, manakala 71 (25 peratus) adalah perempuan.
Menurutnya, baki 39 nama akan dicadangkan pada fasa dua pelantikan.
“Cadangan pengisian kuota 325 Ahli-Ahli Majlis PBT pada tahun ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat pelantikan seperti terkandung dalam Garis Panduan Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Perak Darul Ridzuan tahun 2023.
“Menurut garis panduan berkenaan, calon-calon mestilah memenuhi syarat-syarat kelayakan termasuklah berusia antara 18 hingga 65 tahun, sihat tubuh badan serta tidak mempunyai rekod jenayah atau tindakan tatatertib.
“Pindaan had umur lantikan calon Ahli Majlis yang bermula daripada umur 18 tahun adalah selaras dengan had umur kalayakan mengundi iatu bermula pada umur 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu sidang media selepas menghadiri Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023 di Stadium Indera Mulia, pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani memaklumkan bahawa penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan dan Penilaian Prestasi Ahli Majlis PBT yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan turut diluluskan dalam Mesyuarat tersebut.
#PerakKini #AhliMajlis #PBT #Perak #RBZ
