Oleh Rosdalilah ZahariIPOH - Peniaga perlu menitikberatkan dan menjaga kebersihan sepanjang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan sekitar bandar raya ini.
Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata kebersihan adalah faktor paling penting bagi peniaga yang mengendalikan perniagaan makanan dan minuman.
Menurutnya, bagi menaikkan semangat peniaga untuk menjaga kebersihan beliau bersama-sama Unit Pengurusan Penjaja Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI serta Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta menyampaikan topi dan apron kepada peniaga Bazar Ramadan di Tanjung Rambutan.



"Jadi hari ini kita sampaikan topi dan apron sebagai galakan untuk penjaja-penjaja menjaga kebersihan.
"Kita perlu mengamalkan kebersihan setiap hari, malah, sebelum solat pun kita perlu berada dalam keadaan bersih.
"Ini adalah amalan (pemberian topi dan apron) yang dilaksanakan MBI sejak lapan tahun lalu bagi memastikan kebersihan bazar Ramadan terjaga," ujarnya.
Beliau ditemui Perak Kini selepas menyampaikan topi dan apron kepada peniaga-peniaga di Bazar Ramadan di Tanjung Rambutan, di sini.
Hadir sama, Ketua Penguasa Kesihatan MBI, Abd Razak Hussin; Pengerusi PPPKM Negeri Perak Cawangan Daerah Kinta, Zahari Abd Murad dan Ketua Kampung Tanjung Rambutan, Ayob Zenal.
Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata bazar Ramadan yang dilawatinya itu mempunyai tahap kebersihan yang baik.
"Kalau kita melihat tahap kebersihan di sini, 'A'. Saya tengok tiada sampah sarap, pakaian pun mereka (peniaga) pakai dengan kemas. Inilah yang paling penting, kita hendak bagi orang makan, kebersihan perlu diutamakan," ujarnya
#PerakKini #BazarRamadan #kebersihan #topi #apron