Perak harap laluan penerbangan Ipoh-Bangkok dapat dilaksanakan – Exco

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan Negeri Perak berharap laluan penerbangan antara Ipoh ke Bangkok, Thailand dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Exco Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Zse Yee berkata ini berikutan perbincangan kerajaan negeri bersama Thai Travel Agents Association (TTAA) berhubung perkara tersebut pada April lalu.

Menurutnya, susulan itu pemain industri termasuk syarikat penerbangan di Thailand giat menjalankan promosi pakej pelancongan untuk membawa masuk penduduk negara itu ke Perak.

“Sebanyak 30 operator pelancongan dan syarikat penerbangan datang menyertai Familiarisation (Fam) Trip di Perak beberapa bulan lalu.

“Mereka cukup berpuas hati dan kini giat menjalankan promosi pakej pelancongan bagi membawa masuk warga Thailand ke Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan perasmian Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak kali ke-31 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa dan Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin Wen Yin.

Sze Yee menyeru supaya penggiat pelancongan di Perak supaya bersedia untuk menerima kemasukan pelancong dari negara jiran itu.

“Penggiat pelancongan di Perak kena bersiap sedia untuk mempelajari adat resam dan budaya Thailand termasuk perkataan ringkas (bahasa Thai) supaya kedua-dua pihak dapat berhubung dengan lebih efektif,” ujarnya.

#PerakKini #MattaFair #penerbangan #Ipoh #Bangkok #Perak #Thailand #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *