PERHEBAT bantu bengkel dihempap pokok besar

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Hasil penat jerih 15 tahun seorang pesara tentera mengusahakan bengkel membaiki kenderaan musnah sekelip mata apabila premisnya dihempap pokok besar dalam kejadian ribut dan hujan lebat kira-kira dua minggu lalu.
Pemilik bengkel, Mohd Fuad Baharom, 56, berkata ketika kejadian dia berada di bengkel itu namun bersyukur kerana terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, selepas pokok tumbang dia terpaksa merangkak keluar daripada celahan dahan pokok dan bengkel yang ranap itu bagi menyelamatkan diri.
“Kejadian itu berlaku dengan pantas. Bukan sahaja bengkel saya mengalami kerosakan teruk malah tiga kereta pelanggan yang dihantar untuk dibaiki turut mengalami ‘total lost’ termasuk kenderaan-kenderaan lain,” katanya yang pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 16 tahun sebelum bersara pada tahun 2000.
Mohd Fuad berkata demikian kepada Perak Kini pada Program Jiwa Murni anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama The Bojen Car Wash and Spa di bengkelnya di Kampung Melayu Rizab, Jalan Ampang dekat Tambun, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Tenaga Pengajar PERHEBAT, Muhamad Amir Shahmi Zomri.
Program membabitkan kira-kira 70 anggota ATM itu diadakan bagi membantu membersihkan dan membaik pulih bengkel berkenaan. Pada masa sama, Ketua Whip, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), turut turun padang menyampaikan sumbangan barangan makanan dan wang tunai kepada pemilik bengkel terbabit.






Dalam perkembangan berkaitan, dia memaklumkan insiden itu turut mengakibatkan kerugian yang dianggarkan berjumlah antara RM10,000 ke RM30,000.
Mohd Fuad berkata, pendapatannya pada setiap bulan juga terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Setiap bulan saya memperoleh pendapatan kasar sekitar RM2,000. Namun, sejak PKP dilaksanakan pelanggan semakin berkurangan dan kebanyakkannya hanya mahu membaiki kerosakan-kerosakan kecil pada kenderaan mereka sahaja.
“Bagaimanapun, saya berasa amat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tampil membantu mengurangkan beban yang dipikul ini ,” ujar bapa kepada enam cahaya mata itu.
Sementara itu, Mazlan berkata kerja-kerja pembersihan dan pemotongan pokok tumbang itu telah dijalankan dua hari selepas kejadian membabitkan 30 pekerja MBI.
“Semoga pertolongan yang dihulurkan ini dapat membangkitkan semula semangat Mohd Fuad untuk terus menjalankan perniagaannya selepas ini,” ujarnya.
Bagi Pengurus The Bojen Car Wash and Spa Mohd Salorwadi Mohd Nor yang juga penganjur program, kerja-kerja amal sebegini tidak akan terhenti di setakat itu sahaja.
“Kita akan meneruskan program seumpama dari semasa ke semasa bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat untuk bekerjasama bagi melaksanakan kerja-kerja amal ini,” jelasnya.
