Peruntukan tambahan bagi baik pulih rumah PDRM akan diumumkan pada Bajet 2024 – PM

Oleh Rosdalilah Zahari

ULU KINTA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menerima peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih kediaman anggota keselamatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dijangka akan diumumkan sewaktu pembentangan Bajet 2024 yang akan diadakan pada Oktober ini.

Menurutnya, kediaman polis di negara ini dilihat memerlukan penyelenggaraan dan baik pulih terutamanya yang melibatkan kemudahan asas seperti tandas.

“Perumahan polis…saya tak payah tanya, rumah polis ini elok atau tidak, memang saya tahu ada yang sebahagian tidak diselenggara dengan baik.

“Kebanyakan daripadanya memerlukan pembaikan dan tidak diselenggara dengan baik selama bertahun-tahun.

“Ini tanggungjawab kita. Saya tanya tadi berapa banyak rumah (pasukan polis) yang boleh diduduki, mungkin antara 40 peratus dan 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Jamuan Rakyat Perdana Menteri Bersama Warga dan Keluarga Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah; Menteeri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Nordin Manan.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM150 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam usaha menjamin keselesaan anggota keselamatan negara.

Melalui peruntukan itu, kerajaan meluluskan RM45 juta khusus untuk kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf serta perolehan peralatan di 117 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan RM40 juta bagi infrastruktur serta fasiliti berkaitan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Sebanyak RM50 juta turut diluluskan bagi kerja penyelenggaraan kuarters PDRM dan balai.

#PerakKini #PDRM #peruntukan #tambahan #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *