PKNPk nafi dakwaan aniaya petani, kerajaan negeri peruntuk RM700,000 sedia lokasi baharu

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan lebih RM700,000 bagi mewujudkan kawasan baharu sebagai lokasi alternatif untuk aktiviti pertanian kepada sekumpulan petani setinggan yang menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata bagaimanapun kumpulan tersebut menolak tawaran untuk berpindah ke lokasi baharu walaupun beberapa rundingan pernah dilakukan bersama PKNPk.

“Dakwaan bahawa berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa adalah tidak benar memandangkan kerajaan negeri melalui PKNPk telah mengadakan siri rundingan dan libat urus bagi menyelesaikan isu berkenaan yang sudah berlarutan selama lebih 11 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut menerima memorandum daripada penduduk setempat termasuk di Taman Chepor Sentosa yang mengadu sering berdepan bencana dan kemusnahan harta benda akibat banjir kilat susulan aktiviti pertanian tidak terkawal di kawasan tersebut.

“Kerajaan negeri sentiasa komited memastikan ketersediaan sumber makanan mencukupi, malah Perak adalah negeri pertama yang melancarkan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan sebagai usaha bagi mengurangkan kebergantungan kepada makanan import.

“Malah, aspek keterjaminan makanan menjadi salah satu daripada enam agenda utama pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang menggariskan pelbagai inisiatif memperkasa industri asas tani termasuk penubuhan Akademi Sekuriti Makanan dan pembinaan hub daging halal, ” jelasnya.

Sehubungan itu, Redza Rafiq berkata kerajaan negeri amat menitikberatkan peri pentingnya amalan dan prosedur perancangan serta penggunaan tanah yang betul dan kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan penggunaan sumber tanah yang adil dan saksama.

#PerakKini #PKNPK #KerajaanNegeriPerak #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *