Pemandu Nissan Almera disaman, pemandu Perodua Axia cedera
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pemandu kereta jenis Nissan Almera sudah dikenakan tindakan saman oleh polis selepas kenderaan dipandunya bergesel dengan kenderaan lain selepas keluar simpang di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Taman Song Choon di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, video rakaman itu tular sejak semalam dan mula mendapat perhatian masyarakat.
Menurutnya, kejadian kemalangan melibatkan dua buah kereta, iaitu kereta jenis Nissan Almera yang dipandu wanita berusia 21 tahun dan Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 31 tahun.
“Dalam kejadian jam. 3.08 petang itu pemandu Nissan Almera yang keluar dari simpang Taman Soon Choon membelok ke kanan menghala ke Jalan Sultan Nazrin Shah bergesel dengan kereta Perodua Axia sehingga menyebabkan kereta tersebut terbabas lalu terbalik ke kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan, namun pemandu Perodua Axia mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, kes disiasat di bawah Kaedah 3(2)(b) Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (ln 166/59) dan tindakan saman sudaj diambil terhadap pemandu wanita tersebut.
#PerakKini #PDRM #kemalangan #tular #Ipoh #RBZ