PKPTGTP perlu dekatkan diri dengan komuniti melalui aktiviti kemasyarakatan

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Aktiviti kemasyarakatan perlu diadakan secara berterusan kerana ia boleh menjadi platform terbaik bagi mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat.

Ketua Whip Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Datuk Mazlan Abd Rahman berkata perkara ini harus diterapkan ahli-ahli Persatuan Kelab Pesara Tentera Gerbang Tanjung Permai (PKPTGTP).

Menurutnya, persatuan berkenaan perlu mendekatkan diri dengan komuniti setempat melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang berfaedah supaya hubungan baik antara masyarakat dan ahli-ahli persatuan kekal terpelihara.

“Dalam berpersatuan, kita perlu menjaga kebajikan ahli-ahli dengan mengadakan aktiviti seperti ziarah kasih bagi menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Di samping itu, saya meminta persatuan ini agar melakukan sesuatu yang dapat memberikan manfaat kepada komuniti setempat dengan mengadakan program seperti teknik menjawab soalan peperiksaan kepada anak-anak ahli dan komuniti di sini.

“Selain itu dari segi fardu kifayah, ahli-ahli boleh mengajak anak-anak mereka untuk mengimarahkan masjid melalui pelaksanaan program ‘Jom ke Masjid’ serta mengadakan program pengurusan jenazah bagi menambah bilangan orang muda yang mahir dalam perkara tersebut,” katanya.

Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman bergambar kenangan bersama ahli PKPTGTP.
Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman (berdiri kanan) bersama Timbalan Pengerusi PKPTGTP, Burhanuddin Mohd Ramli (berdiri kiri) beramah mesra bersama ahli PKPTGTP.
Timbalan Pengerusi PKPTGTP, Burhanuddin Mohd Ramli menyampaikan cenderahati kepada Ketua Whip Ahli Majlis MBI, Datuk Mazlan Abd Rahman.
Timbalan Pengerusi PKPTGTP, Burhanuddin Mohd Ramli.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke-10 PKPTGTP di Dewan Komuniti Taman Sri Tanjung, di Tanjung Rambutan, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PKPTGTP, Burhanuddin Mohd Ramli dan Penasihat PKPTGTP, Ayob Zenal.

Katanya, pendekatan ini tidak terhad kepada komuniti yang terdiri daripada kaum Melayu sahaja bahkan kaum lain seperti Cina, India dan lain-lain juga turut akan diberikan perhatian sama.

Sementara itu, Burhanuddin pula berkata, persatuan itu akan terus aktif dalam mengadakan aktiviti-aktiviti seperti yang disarankan Mazlan serta terus menjaga kebajikan ahli dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sehingga kini terdapat lebih 50 ahli yang berdaftar terdiri daripada pesara tentera dan orang awam yang tinggal di sekitar Tanjung Permai, Tanjung Rambutan dan kawasan berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *