PRK DUN SLIM: WANITA UMNO MEMBARA

Oleh Intan Efazila Md Yusop
SLIM RIVER:Pergerakan Wanita UMNO bahagian Tanjung Malim menggerakkan semua ketua wanita cawangan dan ketua Jalinan Rakyat (JR) serta ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Undangan Negeri ( DUN) Slim yang dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos depan.
Ketua Wanita UMNO bahagian Tanjung Malim, Salina Samsudin berkata beliau terharu dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh pimpinan wanita UMNO di DUN Slim dalam memastikan calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO menang dalam PRK.
Katanya, walaupun melalui notis atau panggilan dalam masa yang singkat, namun pimpinan Wanita dapat hadir dan memberi komitmen 100 peratus terhadap gerak kerja PRK di peringkat akar umbi nanti.
” Semua ketua cawangan, JR dan PDM akan berkerjasama dan membuat pembahagian tugas secara lebih spesifik supaya matlamat atau sasaran untuk mengekalkan kemenangan PRK DUN Slim tercapai.
” Mereka diamanahkan untuk mengemaskini data kajian sikap dan status pengundi yang terkini supaya gerak kerja untuk meraih undi oleh jentera PRK dapat berjalan lancar,” katanya.
Beliau ditemui ketika Taklimat PRK DUN Slim bersama Ketua Wanita UMNO cawangan, Ketua JR dan Ketua PDM peringkat DUN Slim di Pejabat UMNO Bahagian Tanjung Malim, petang tadi.
Salina berkata urusan menentukan siapa calon BN untuk PRK DUN Slim, beliau menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada pimpinan UMNO pusat untuk menentukan calon yang paling layak dalam PRK ini.
Katanya, beliau memang bersedia dari segi mental dan fizikal serta akan mengaplikasi segala pengalaman dalam politik , jika beliau terpilih menjadi calon dalam PRK DUN Slim
Sementara itu, Naib Ketua Wanita UMNO bahagian Tanjung Malim, Rubiah Bibi Sher Mohd Khan berkata Wanita memang terkenal sejak dahulu lagi iatu sentiasa komited dalam menjalankan gerak kerja pilihan raya.
Katanya, berdasarkan momentum rakyat terutama di DUN Slim, beliau percaya dengan gerak kerja PRK yang disusun mantap oleh BN maka calon BN pasti bakal memenangi PRK DUN Slim dengan majoriti yang besar.
” Soal calon, sebagai Wanita sudah tentu kami mengharapkan calon PRK DUN Slim adalah Wanita kerana kami percaya bahawa calon Wanita juga setanding dengan calon lain.
” Apa pun, kepentingan parti perlu diutamakan dan siapa calon sekalipun, kami Wanita tetap berpegang teguh dan taat pada keputusan parti,” katanya
