PRU15: Pilih calon luar tidak bererti PKR Perak ketandusan calon tempatan

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Pemilihan dua calon luar untuk bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti bukan bererti PKR Perak ketandusan calon di negeri ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak semestinya pemilihan calon luar untuk bertanding di Perak menunjukkan PKR di negeri ini tiada calon yang sesuai.
“Dia kalau ada 100 calon, dua calon luar takkanlah kita ketandusan calon. Sebab orang Perak bertanding di luar pun ada,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media di Pusat Operasi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, di sini pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Presiden PKR itu berkata calon luar atau calon tempatan bertanding di kawasan mana itu bukan persoalannya.
Katanya, apa yang penting calon yang bakal bertanding itu dapat membantu PH dalam merubah lanskap politik negara.
Semalam, Anwar mengumumkan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zainal Azman Abu Seman akan bertanding pada PRU15 ini di atas tiket PKR di Perak.
#PerakKini #PakatanHarapan #PH #PKR #PRU15 #Perak
