PRU15: PN Perak beri jaminan tidak bertelagah berebut kerusi

Ahmad Faizal ketika menghadiri Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru, pada Sabtu

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Perikatan Nasional (PN) Perak jamin tidak akan bertelagah merebut kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini seperti mana yang berlaku dalam kem Pakatan Harapan (PH) Perak semalam.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata di Perak, soal pembahagian kerusi antara ketiga-tiga tiga parti komponen (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN)) di bawah gabungan itu setakat ini berjalan lancar.

“Di Perak, Alhamdulilah semuanya berjalan dengan baik. Bagaimanapun, di peringkat pusat ada berlaku sedikit pertindihan namun akhirnya dapat diselesaikan dengan amat baik.

“Saya sebenarnya berasa amat bersyukur kerana saya ada pengalaman dalam PRU14 dulu membuat agihan kerusi dalam PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Pemeriksaan Kesihatan di Dewan Azumu Impian Meru, pada Sabtu.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, PH dilihat masing-masing menganggap diri mereka terlalu hebat.

“Itu yang menyebabkan berlaku banyak pertindihan sehingga tidak dapat diselesaikan.

“Jadi mana mungkin mereka nak tubuhkan kerajaan yang stabil,” ujarnya.

Semalam, dua parti komponen dalam PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) masing-masing mengumumkan meletakkan calon mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong.

Bagaimanapun, Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan kerusi itu adalah milik DAP Perak mengikut keputusan yang dicapai secara konsensus di peringkat kepimpinan tertinggi Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang diadakan pada Khamis minggu lalu.

#PerakKini #PerikatanNasional #Perak #PRU15

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *