RM2 juta diperuntuk PPPNP bantu 342 pengusaha padi

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Bantuan Infrastruktur dan Pembangunan Padi di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seramai 342 pengusaha padi menerima dana sebanyak RM2 juta daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) melalui program pinjaman usahawan padi (RM1 juta) dan menaik taraf insfrastruktur sawah padi di luar jelapang (RM1 juta).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata seramai sembilan orang peminjam ditawarkan dana pinjaman berjumlah RM681,300 yang  terdiri daripada pembelian dron, ‘smart battery’ dan mesin serta jentera.

Menurutnya, bagi dana menaiktaraf infrastruktur melibatkan sawah padi luar jelapang, ia dilaksanakan di sekitar daerah Perak Tengah dan Kuala Kangsar dengan peruntukan berjumlah RM1 juta membabitkan seramai 333 orang penerima bantuan dengan keluasan 846 hektar.

“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf seperti pembinaan parit ladang, perataan dan pengapuran,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyerahan Dana Bantuan Infrastruktur dan Pembangunan Padi di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Perak PPPNP, Mohd Kahar Mukktaruddin dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Norsiyenti Othman.

Dalam perkembangan berkaitan, Zolkafly memaklumkan kerajaan negeri melihat usaha tersebut adalah satu perkembangan baik dan amat menyokong apabila petani terbabit diberikan kemudahan bersesuaian dengan zaman sains dan teknologi.

“Ini satu perkembangan baik dan kita akan beri perhatian dengan penggunaan teknologi moden yang dilihat secara tidak langsung membantu menjimatkan kos, masa serta dapat meningkatkan hasil tanaman.

“Kerajaan Negeri amat berbangga dengan usaha-usaha yang dilakukan (petani) kerana mereka antara penyumbang utama kepada keberhasilan makanan kepada rakyat di negeri Perak.

“Setakat ini, kita juga sedang memberi perhatian ke atas permohonan mereka yang terbabit dalam bidang ternakan, pertanian, sayuran dan berkaitan sekuriti makanan.

“Ini adalah salah satu teras yang digagaskan Menteri Besar Perak dalam pembangunan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau akan memastikan bekalan makanan yang dihasilkan melalui pertanian mencukupi untuk rakyat dan mampu dieksport ke luar negeri pada masa akan datang.

#PerakKini #PPPNP #SADC #Perak #pengusahapadi #petanimoden #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *