RUMAH NGAJI DI HOSPITAL SLIM RIVER

Oleh Intan Efazila Md Yusop
SLIM RIVER: Rumah Ngaji untuk kakitangan beragama Islam bagi mendalami ilmu agama dan mengaji Al-Quran bakal dibuka di Hospital Slim River (HSR),dekat sini.
Pengarah HSR, Dr.S.Sivanandarajah berkata program dan aktiviti keagamaan mampu meningkatkan kerohanian dan motivasi dalam kalangan kakitangan di hospital itu.
” Penubuhan atau pembukaan Rumah Ngaji untuk kakitangan bakal memberi manafaat kepada mereka dalam menjalankan tugas hakiki dan kehidupan seharian.
“Program keagamaan dan kerohanian ini memang digalakkan supaya kakitangan lebih bersemangat dan bermunasabah diri dalam menjalankan tugas , terutama ketika negara masih dalam memerangi dan memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demekian ketika Majlis Penutupan Program Khatam Al-Quran peringkat HSR di Dewan Muallim, dekat sini.
Program itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Hospital Mesra Ibadah bersama Jawatankuasa Surau HSR membabitkan kira-kira 30 kakitangan hospital.

Hadir sama, Timbalan Pengarah HSR (Perubatan), Dr Shazrin Noshariza Sharifuddin, Timbalan Pengarah HSR (Pengurusan), Khazami Alli, ketua-ketua jabatan dan kakitangan hospital.
Majlis khatam Al-Quran itu diketuai Ustaz Muhammad Siraj Munir Sulaiman disusuli tazkirah kepada peserta tadarus Al-Quran yang berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk sepanjang bulan Ramadan lalu.
Beliau berkata, walaupun negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), program yang bermanafaat kepada kakitangan terutama membabitkan aktiviti keagamaan boleh dijalankan.
Katanya, program yang dianjurkan itu mestilah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
” Program ini juga sebagai pemulihan spiritual dalam kalangan kakitangan yang sebelum ini agak tertekan dengan tugas rutin mereka terutama ketika peringkat awal penularan wabak Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu” katanya.
