RUU Hotel Perak 2023 dibentang ganti Enakmen Rumah Tumpangan selepas 96 tahun

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kerajaan negeri Perak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Hotel Perak 2023 bagi menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927 yang diguna pakai sejak 96 tahun lalu.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali kedua oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching sewaktu Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 pada Isnin.

Sandrea berkata, sudah tiba masa enakmen tersebut digubal bagi penambahbaikan selari dengan perkembangan keperluan pengunjung pada masa kini.

“Penggubalan RUU Hotel Perak 2023 ini diperlukan untuk melonjakkan industri perhotelan kerana penyeragaman kualiti perkhidmatan hotel akan memanfaatkan pihak penggiat industri perhotelan dan pengunjung Perak secara langsung.

“Tafsiran ‘hotel’ diperluaskan kepada semua jenis tempat menumpang, bermalam atau berlindung meliputi maksud dan membuka seluas-luas peluang kepada semua pengusaha hotel dan rumah tumpangan, chalet, rumah-rumah rehat, khemah dan rumah bot yang sebelum ini tidak dapat didaftarkan untuk mendapat lesen hotel dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Justeru, ia akan memberi ruang kerjasama dengan lebih ramai pengusaha-pengusaha rumah tumpangan dalam tafsiran yang lebih meluas dan moden pada hari ini,” katanya sewaktu sidang media di Sidang DUN Perak pada Isnin.

Dalam perkembangan berkaitan, Sandrea berkata deraf RUU itu sudah melalui proses perbincangan yang panjang dan mendalam dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang pemegang taruh dalam industri perhotelan di negeri ini.

“Sejak keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 8 Jun tahun lalu bersetuju dengan cadangan untuk menggubal sebuah enakmen untuk menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan 1927, sebanyak 15 kali sesi libat urus membabitkan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Pejabat Kewangan dan Bendahari Negeri, Ketua-Ketua Jabatan PBT khususnya pasukan Perundangan, Perlesenan dan Penguatkuasaan PBT Perak, Tourism Perak dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Perak termasuk persatuan-persatuan pelancongan, penggiat  industri perhotelan yang diselaraskan oleh pihak UPEN (Bahagian Kerajaan Tempatan) dan Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

“Ini menggambarkan usaha yang serius daripada kerajaan negeri bagi menangani masalah komuniti perhotelan yang turut memberi kesan langsung kepada komuniti pelancongan di Perak,” jelasnya.

#PerakKini #RUUEnakmenHotel2023 #EnakmenRumahTumpangan1927 #SidangDunPerak #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *