SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-67 DAN HARI MALAYSIA
16 September, IPOH – Buat julung kalinya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tawas Tambahan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 dan Hari Malaysia peringkat Mukim Hulu Kinta kawasan Chemor.
Majlis dimulakan dengan perasmian oleh Penghulu Kanan Mukim Hulu Kinta (Chemor), Azahari Saad bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Tawas Tambahan pada hari ini.
Kehadiran beliau turut diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, YB Ong Boon Piow, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tawas Tambahan, Halil Aspawi Hassan serta Pengerusi Pertubuhan Masyarakat Bersepadu Ipoh (PEMADU), Akhiruddin Muhammad Taib.
Para penduduk kampung serta taman perumahan berhampiran turut memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia dengan kehadiran pelbagai bangsa, agama dan peringkat umur.
Menurut Pengerusi JPKK Kampung Tawas Tambahan, Halil Aspawi Hassan berkata, “Matlamat sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia serta Maulidur Rasul pada hari ini bertujuan untuk merapatkan silaturahim antara penduduk kampung serta taman perumahan yang berbilang bangsa terutama kaum Melayu, Cina dan India.
“Pada program kali ini turut diadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma, teknik memadam kebakaran, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, jualan Rahmah serta pemberian kotak makanan Yayasan Perak”, ujar beliau kepada pemberita.
Majlis turut diserikan lagi dengan pengumuman johan keseluruhan ‘Pertandingan Keceriaan Halaman Kediaman 2024’ yang dimenangi oleh Mohammad Ricky Mustapa Kamal. Beliau berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 400.00 ringgit beserta sijil penyertaan yang disampaikan oleh Pengerusi JPKK Kpg Tawas Tambahan.
Disediakan oleh Azizi Latif