“Semua orang nak cepat, tapi bersabarlah”
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Di jalan raya sesak, orang nak cepat. Jadi, sabarlah dan bertimbang rasa. Kita perlu hormat kepada pengguna jalan raya yang lain,” ujar Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk memberi nasihat kepada pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing selepas rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lalu.
Menurutnya, perpaduan adalah keharmonian dan kesejahteraan tetapi ia bermula dengan kesabaran sikap hormat menghormati serta tolenransi antara satu sama lain.
“Kalau itu dapat jadi amalan kita, InsyaALLAH kita dapat hidup dengan lebih mesra sejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Pelancaran Cafe Uniti Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia di Kafe Shake and Bake, di sini, pada Jumaat.
Halimah turut menasihati kepada Keluarga Malaysia yang pulang ke kampung supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dalam pada kita pulang ke Kampung untuk berjumpa ibu bapa apa yang penting kita lakukan ujian RTK (Kit Ujian Pantas) Antigen, pastikan kenderaan selamat dan patuhi SOP yang ada bila kita berada bersama keluarga.
“Bila sihat, baliklah jumpa keluarga supaya kita dapat laksanakan peranan kita. Jangan balik kampung jumpa keluarga, kes meningkat.
“Tak semestinya dah dapat double dos tak boleh kena lagi (Covid-19), kalau dapat peratus untuk kena ada tapi tak seteruk mereka yang tak ambil vaksin,” katanya.