Sidang DUN Perak: RM1.19 bilion diperuntukan bagi Belanjawan Negeri Perak 2023

Foto: Korporat SUK Perak
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Belanjawan Negeri Perak 2023 memperuntukkan RM1.19 bilion membabitkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM395 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membentangkan bajet tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 petang tadi.
Menurutnya, belanjawan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ ini menetapkan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat (RM380.9 juta), Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri (RM258.1 juta), Kelestarian Alam Sekitar (RM162.6 juta), Keterjaminan Bekalan Makanan (RM55 juta) dan Pembangunan Modal Insan dan Belia (RM21.6 juta).
Katanya, peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan ditambah kepada RM93 juta berbanding tahun 2022.
“Peningkatan ini mengambil kira keperluan yang perlu dibelanjakan demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
“Asbab utama peningkatan adalah komitmen bagi projek fizikal merangkumi pembinaan, pembaikan dan kerja naiktaraf pelbagai infrastruktur dan fasiliti serta program kesejahteraan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Saarani memaklumkan bahawa Penyata Kewangan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 dijangka akan ditutup dengan defisit RM30 juta.
Sementara itu, Saarani memaklumkan bahawa kutipan hasil melepasi angka RM1 bilion iaitu mengulangi prestasi pada tahun 2016 hingga 2019 iaitu pencapaian sebelum pandemik COVID-19.
“Alhamdulillah, kutipan hasil tahun semasa juga telah melepasi anggaran RM1.032 bilion. Pencapaian ini sekaligus telah mengukuhkan aliran tunai kerajaan negeri,” ujarnya.
#PerakKini #BelanjawanNegeriPerak2023
