Sindiket seleweng diesel upah ‘tonto’ lindung aktiviti

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dikesan menggunakan khidmat tonto bagi melindungi aktiviti mereka di sekitar Kuala Kangsar.
Aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi itu dikesan melalui risikan dan maklumat yang dijalankan pegawai serta anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak sehingga membawa kepada serbuan di sebuah premis di kilang papan tanpa nombor di Kampung Chuar Hulu, Sauk dekat sini pada Selasa.
Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail berkata hasil pemeriksaan ke atas premis dalam serbuan jam 10.30 pagi itu menemui dua tangki skid dipercayai berisi minyak diesel.

Menurutnya, dua buah kenderaan turut ditemui di premis berkenaan iaitu lori muatan lima tan dan van yang diubah suai dengan meletakkan tangki lain selain tangki asal lori tersebut.
“Tiada pemilik premis ditemui tempat kejadian semasa serbuan dan kesemua kenderaan, peralatan penyedut minyak dan cecair yang disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 31,000 liter telah disita.
“Nilai keseluruhan barang rampasan adalah berjumlah RM101,400.
“Kita percaya sindiket ini membeli minyak diesel di beberapa stesen minyak sekitar Kuala Kangsar dengan harga subsidi secara berulang-ulang dan kemudian mengumpul dan menyimpan minyak tersebut di dalam tangki di premis berkenaan sebelum dijual kepada pihak industri.
“Pada masa sama, kita juga percaya melalui maklumat risikan yang dibuat, sindiket ini mengupah ‘tonto’, bagi memastikan operasi mereka berjalan lancar tanpa disedari pihak berkuasa,” katanya pada Selasa.
Kamalludin berkata siasatan lanjut ke atas stesen minyak yang berkaitan akan dilakukan dan tindakan akan diambil jika didapati terlibat dalam penyelewengan ini.
“Kes akan di siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” ujarnya.
#PerakKini #KPDN #sindiket #upah #tonto #selewengdiesel #RBZ
