SKIM RUMAH IBU ALTERNATIF MEMILIKI KEDIAMAN MAMPU MILIK

BATU GAJAH – Skim Rumah Ibu (SRI) adalah inisiatif baharu dilancarkan pihak swasta dengan sokongan kerajaan negeri bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki kediaman mampu milik dengan kemudahan perkhidmatan sokongan yang disesuaikan mengikut keperluan penduduk.
Majlis Peluncuran SRI telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, YB Sandrea Ng Shy Ching bertempat di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bemban Rakyat, pada Sabtu.
Turut mengiringi beliau ADUN Tronoh, Steven Tiw Tee Siang, Yang Dipertua Majlis Batu Gajah, Mohamad Razif Ramli, Pengasas Rumah Ibu, Dato’ Dr Kamarul Rashdan Salleh, Pengarah Eksekutif Rumah IBU Sdn Bhd, Heni Rosanti Asryadi serta Pengurus Besar Rumah IBU Sdn Bhd, Rozaimir Zulkifli.
Sandrea Ng berkata, Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif SRI sebagai satu penyelesaian alternatif untuk membantu pemilik lot merealisasikan impian mendirikan rumah.
” Usaha kerajaan untuk membantu rakyat antaranya melalui konsep RPT terutamanya cabaran di hadapi pemilik lot antaranya termasuk infra asas dan kekangan kewangan.
“Dengan adanya inisiatif Skim Rumah Ibu, kita berharap konsep ini difahami oleh pemilik lot supaya dapat merealisasikan impian memiliki rumah pada akhirnya,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Usai peluncuran majlis tersebut turut diadakan upacara ‘Pecah Tanah Tapak Rumah Ibu’ serta ‘Pemeteraian Memorandum Persefahaman’ (MOU) dan penyerahan surat perlantikan rakan pelaksana Rumah IBU Sdn Bhd.




