Suami isteri kantoi edar dadah

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah membabitkan pasangan suami isteri dalam dua serbuan di Jalan Medan Ipoh, di sini, pada Isnin lalu.

Menerusi kedua-dua serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu, polis merampas dadah jenis ketamin dengan berat 765.5 gram (gm), 2,773 biji pil Ecstacy seberat 1.09 kilogram (kg), 15,255 biji pil Erimin 5 anggaran berat 4.33 kg, serbuk dadah dipercayai Ecstacy seberat 1.043 kg dan 141 peket serbuk minumam disyaki serbuk Ecstacy seberat 3.427 kg bernilai RM538,646.20.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata berkata serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Medan Ipoh pada jam 9 malam, membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isterinya, wanita warganegara China yang berusia 37 tahun.

“Ekoran daripada tangkapan tersebut, pada hari yang sama jam 10.25 malam BSJ IPK Perak membuat serbuan susulan di sebuah rumah yang berlainan juga di Jalan Medan Ipoh yang dipercayai digunakan sebagai tempat untuk menyimpan dan membungkus dadah.

“Turut dirampas adalah sejumlah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.

“Sebuah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM1,200 turut disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang melibatkan anggaran jumlah keseluruhan nilai harta yang disita adalah sebanyak RM 41,200,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu sidang media yang diadakan di perkarangan IPK Perak pada Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Yusri berkata ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah jenis ketamin.

“Hasil semakan mendapati pasangan tersebut tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan berdasarkan siasatan mereka dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun 2021 yang lalu.

“Dadah yang dirampas, disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar Perak dan boleh digunakan seramai 40,000 orang penagih dadah,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai semalam sehingga 3 Julai ini bagi membantu siasatan.

#PerakKini #PDRM #JSJN #suamiisteri #dadah #RBZ

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *