Pemandu lori kontena rempuh pagar, pos pengawal IPD Tapah ditahan polis

Foto Ihsan PDRM
Oleh Rosdalilah Zahari
TAPAH – Seorang anggota polis yang bertugas di pondok pos pengawal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah mengalami cedera ringan selepas pagar dan pondok tersebut dilanggar sebuah lori kontena di Kilometer 57 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah n Azharuddin Wan Ismail berkata kejadian jam 1.25 pagi itu membabitkan sebuah lori kontena yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Ipoh dengan membawa muatan kerusi meja.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar pos pengawal serta pagar utama IPD Tapah. “Akibat kemalangan tersebut, seorang anggota polis yang sedang bertugas di pos pengawal mengalami kecederaan patah satu gigi hadapan, luka di bahagian mulut, cedera tangan kiri dan dirawat di Hospital Tapah.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati negatif dadah manakala semakan lanjut dijalankan mendapati suspek tidak memiliki rekod saman lampau dan terkini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya, suspek sudah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Tapah bagi tujuan permohonan reman untuk siasatan lanjut.
“Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Tapah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu dan berbahaya,” jelasnya.
#PerakKini #PDRM #IPDTapah #kemalangan #lorikontena #RBZ
