Sultan Nazrin titah segera persembahkan terus ke pengetahuan Baginda isu 3R

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Foto BERNAMA
Oleh Rosdalilah Zahari
KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, isu-isu menyentuh agama, raja dan kaum (3R) yang semakin disensasikan dan dipolitikkan kebelakangan ini jika dibiarkan berlarutan boleh menjejaskan kestabilan negara termasuk usaha pembangunan serta ekonomi.
Baginda bertitah, usaha-usaha preventif menghindarkan perkara tersebut daripada berlarutan wajib dirintis dan langkah-langkah tegas membendung perlu dilaksanakan.
“Perkara-perkara menyentuh agama, raja dan kaum yang disensasikan, jika berlaku hendaklah segera dipersembahkan ke pengetahuan Beta, dan mendapatkan nasihat Beta jika perlu dilaporkan kepada pihak-pihak berkuasa dan badan perundangan,” titah Baginda.
Baginda bertitah pada Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke -172 di sini Istana Iskandariah di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, Ahli-ahli Dewan Negara dan Orang Besar Jajahan hendaklah berperanan proaktif membantu usaha-usaha preventif dan usaha-usaha membendung perkara tersebut.
“Orang-orang Besar Jajahan terutamanya hendaklah mendampingi Jawatankuasa dan pegawai masjid, sering mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam jajahan masing-masing, berusaha ke arah menyatupadukan rakyat,” titah Baginda.
Baginda bertitah, generasi remaja semakin menjadi komponen terbesar rakyat di negara ini wajib diberikan bimbingan untuk menjadi warga berharga kepada negara dan bangsa.
Justeru, Sultan Nazrin menyeru Orang Besar Jajahan mendampingi golongan remaja dengan mengadakan pertemuan, dialog dan perbincangan dengan pemimpin belia di jajahan masing-masing.
“Berikan masa untuk menghadiri dan meraikan kegiatan para belia di jajahan masing-masing.
“Bimbing dengan kata-kata nasihat dan hulurkan bantuan untuk menjayakan kegiatan-kegiatan mereka untuk membolehkan mereka menjadi warga yang berharga kepada negara bangsanya,” titahnya.
#PerakKini #SultanPerak #MesyuaratDewanNegara #RBZ
